Wednesday, August 13, 2014

Murahnya Nyawa Kini...

Nyawa macam tiada nilainya lagi... Ingat senang ke nak dapat seorang anak? Ingat senang ke nak deliver seorang anak? Senang-senang saja orang bunuh kejam, tak ada hati perut kan!...

Geram sangat kan? Lepas satu, satu lagi kes kematian melibatkan bayi dan kanak-kanak. Apa salah mereka? Cer citer sket...

Terbaru kes baby Nurain Damia Mohd Naquudin, 1 tahun 2 bulan yang koma dipercayai mangsa dera.

Petikan penuh dari Sinar Harian...pada 7 Aug 2014 lalu bayi ini telah dimasukkan ke hospital akibat dipercayai didera oleh pengasuhnya..


SUNGAI BULOH - Jatuh daripada kerusi rotan tetapi kecederaan seperti dilanggar sebuah kereta!

Itulah yang dikatakan oleh doktor mengenai kecederaan yang dialami, Nurain Damia, setahun dua bulan, setelah dikatakan terjatuh di rumah pengasuhnya di Flora Damansara, Petaling Jaya, kelmarin.

Menurut ibu mangsa, Nor Ani Shafarina Sani, 22, pengasuh anaknya mengatakan Nurain Damia terjatuh dari sebuah kerusi ketika sedang tidur kira-kira jam 7 petang.

“Sejurus mendengar berita itu, saya menghubungi suami saya, Mohd Naquudin Zakaria, 25, untuk memaklumkan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di Hospital Sungai Buloh (HSB) di sini, semalam.

Nor Ani berkata, suaminya terpaksa mengambil Nurain Damia terlebih dahulu selepas pengasuh menghubungi sekali lagi memaklumkan keadaan anaknya dan meminta dibawa ke hospital dengan kadar segera.

“Ketika saya melihat keadaan Damia, saya sangat terkejut dan menangis. Saya lihat tangan serta kakinya sudah kejang,” katanya.

Menurut Nor Ani, sepanjang perjalanan ke hospital, Nurain Damia dalam keadaan separa sedar dan mulutnya berbuih. Dia cuba memanggilnya berulang kali, namun tiada sebarang tindak balas diterima.

“Pemeriksaan doktor mendapati Damia mengalami pendarahan di dalam kepala dan perlu menjalani pembedahan segera,” katanya.

Nor Ani sangat terkejut apabila doktor memaklumkan kecederaan Nurain Damia seperti bukan impak daripada jatuh kerusi.

Katanya, sekiranya jatuh kerusi, kecederaan di tempurung kepalanya tidak seteruk itu.

“Lebih malang lagi, tempurung kepala Damia retak dan tidak dapat disambung kerana otaknya mengembang,” katanya.

Bimbang kejadian tidak diingini berlaku, Nor Ani membuat laporan di pondok polis hospital.

Nor Ani berkata, Nurain Damia dihantar di bawah jagaan pengasuh itu sejak dua bulan lalu dan dalam tempoh itu terdapat beberapa kesan kecederaan di kepalanya.
“Pengasuh memberikan alasan yang Damia terjatuh. Pernah sekali pipi anak saya lebam. Namun, pengasuh mengatakan dia (Damia) digigit oleh salah seorang anak jagaannya,” katanya.

Menurutnya, beliau mendapat khidmat pengasuh tersebut melalui laman sosial Facebook dan Nurain Damia merupakan anak tunggalnya setelah berkahwin sejak dua tahun lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes sedang disiasat. 

link penuh : http://buff.ly/Xh8NAM

Bayi comel ini telah kembali kepada-NYA pada 13 Aug 2014. Al-Fatihah buat baby Nurain Damia Mohd Naquudin. Semoga rohmu tenang di sana dan semoga keluarga mangsa tabah menghadapi ujian Allah SWT ini...amin..

http://buff.ly/1AduPCq

Semoga pendera yang terlibat dibawa ke muka pengadilan dan menerima hukuman setimpalnya di dunia & juga di akhirat.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...